Grab the widget 

Saturday, May 8, 2010

Jangan ulangi kesilapan: Sathia


KOTA BHARU – Jangan ulangi kesilapan pada perlawanan lalu. Begitulah peringatan ringkas Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan kepada pemainnya menjelang pertemuan pusingan kedua Liga Super menentang Pahang di Stadium Darul Makmur malam ini.
Kata dua B Sathianathan itu memang ada benarnya kalau melihat kepada aksi serba longlai anak buahnya yang mengundang resah beliau sepanjang 90 minit pertemuan di Kota Bharu tempohari. Pada perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super tempoh hari, Kelantan sekadar mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Pahang.
“Pahang pastinya mahu bangkit untuk mencatatkan kemenangan di tempat sendiri malam ini setelah dikecewakan oleh kita minggu lalu,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam. “Jadi, saya sudah ingat kepada pemain-pemain saya, bahawa pertemuan kali ini bukan sesuatu yang mudah bagi mereka.
Sehingga kini, Kelantan berada di tangga kedua liga setelah mengumpul 28 mata hasil lapan kemenangan dan terus memberi tekanan kepada pendahulu liga, Selangor yang dipisahkan dengan kelebihan empat mata setakat ini. Sathianathan berkata, beliau tetap menghormati kemampuan Dollah Salleh sebagai pengendali pasukan Tok Gajah pada musim ini.
“Mereka (pemain) tidak boleh memandang mudah seperti mana pertemuan di Kota Bharu minggu lalu. “Stadium Darul Makmur tidak menjanjikan kemenangan kepada pasukan pelawat.
Dua pasukan yang berentap dalam perlawanan akhir Piala FA musim ini, Negeri Sembilan dan Kedah pernah tersungkur di sini,” katanya.
Sathianathan berkata, pemain Kelantan harus mempamerkan persembahan cemerlang seperti tiga perlawanan terdahulu kalau mahu mencipta kemenangan di Kuantan.
“Pemain Kelantan harus bermain sebagai satu pasukan. Apabila kita hilang bola, kita perlu mendapatkan kembali bola itu.
“Itu bukan kerja pemain pertahanan sahaja untuk mendapatkan bola. Semua pemain harus mempunyai tanggungjawab yang sama apabila berada di atas padang,” katanya.
Ditanya mengenai persiapan pasukan menjelang perlawanan malam ini, Sathianathan berkata, tonggak pertahanan, Mohd Daudsu Jamaluddin bakal kembali memperkuatkan benteng pertahanan Kelantan.
“Mohd Daudsu (Jamaluddin) bersedia diturunkan selepas menjalani penggantungan satu perlawanan tempoh hari. “Manakala khidmat Akmal Rizal Ahmad Rakhli terpaksa diketepikan kerana mengalami kecederaan.
“Mohd Shakir (Shaari) pula sudah pulih daripada demam. Jadi, dia mungkin tersenarai didalam kesebelasan utama pemain pada perlawanan ini. Kita tengok sejauh mana tahap kecergasannya nanti,” katanya.
Di sebalik raut wajah gembira kerana dua tonggak utamanya sudah kembali ke dalam pasukan, Sathianathan turut cemas apabila beberapa pemain Kelantan masih mengalami demam. “Ada beberapa pemain Kelantan masih mengalami demam. Saya tidak pasti apakah sekarang musim demam di sini (Kota Bharu). Apa pun, saya berharap ianya tidak merebak di kalangan pemain,” katanya.
Sementara itu, ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin tetap yakin pasukan Kelantan mampu mencatatkan kemenangan ke atas bekas pasukan lamanya. “Apa yang penting, kita jangan ambil mudah perlawanan ini. Saya berharap rakan sepasukan dapat ambil iktibar pada pertemuan di Kota Bharu minggu lalu.
“Pemain perlu fokus 100 peratus pada perlawanan ini. Kita masih ada peluang untuk mengejar pendahulu liga Selangor. “Insya-Allah, kita mampu melakarkan kemenangan malam ini,” katanya.


Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...