Grab the widget 

Saturday, May 29, 2010

Tiada alasan untuk kecewa lagi

KOTA BHARU – Bermain seperti biasa tanpa sebarang tekanan dan tunjukkan persembahan yang cemerlang. Begitulah pesanan Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan kepada para anak buahnya menjelang pertemuan Liga Super, Pulau Pinang menentang Kelantan malam ini.

Sambil peluang mengucup kejuaraan pertama tidak harus dibiarkan begitu sahaja, Sathianathan tetap mempunyai keyakinan tinggi bahawa Kelantan mampu mencatatkan kemenangan di Batu Kawan.

Sathianathan berkata, selepas mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dengan Kedah tempoh hari, pemain Kelantan tidak ada alasan lagi untuk tidak mempamerkan persembahan cemerlang seterusnya mencatatkan kemenangan ke atas Pulau Pinang.

“Inilah masanya untuk pemain Kelantan membuktikan kemampuan mereka. Mereka (pemain) harus memberikan fokus lebih daripada 100 peratus di atas padang di samping menunjukkan permainan yang bermutu tinggi,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

Sathianathan berkata, tempoh rehat selama tiga hari digunakan sepenuhnya oleh beliau bagi memperbaiki kelemahan yang berlaku sewaktu pertemuan dengan Kedah tempoh hari. “Saya akan melakukan sedikit rombakan terhadap kesebelasan utama pemain kerana ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin tidak dapat beraksi disebabkan menjalani penggantungan satu perlawanan.

“Justeru, posisi tengah memerlukan sedikit penyesuaian baru. Jadi saya berharap pengganti Indra Putra (Mahayuddin) mampu menggalas tugas tersebut. Sathianathan berkata, beliau cukup optimis Kelantan mampu mencipta kemenangan ke atas Pulau Pinang pada perlawanan malam ini.

“Bukan untuk mendabik dada, yang penting kita perlu mempunyai keyakinan yang tinggi untuk menang bagi setiap perlawanan. “Di atas kertas, kita berada di tangga kedua manakala Pulau Pinang pula menghuni tangga tercorot.

“Itu pun merupakan satu kemenangan moral bagi pasukan kita. Jadi, takkanlah kita tidak berupaya mengatasi Pulau Pinang pada pertemuan malam ini. “Saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap pemain saya.

Tetapi pemain saya juga harus mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri untuk mencipta kemenangan,” katanya. Pada pertemuan pusingan pertama Liga Super di Kota Bharu, Kelantan berjaya menewaskan Pulau Pinang 3-1 hasil jaringan hatrik Norshahrul Idlan Talaha.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...