Grab the widget 

Thursday, June 3, 2010

13 Julai jadi penentu

SELEPAS berakhirnya perlawanan malam kelmarin, saingan Liga Super kini berhenti rehat selama enam minggu bagi memberi laluan kepada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2010 di Melaka dan juga Piala Dunia 2010.

Apabila saingan bersambung semula pada 13 Julai depan, salah satu perlawanan yang pasti menjadi tumpuan ialah pertembungan Selangor menentang Kelantan yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam.

Pengurus merangkap jurulatih Selangor, K. Devan jelas sudah tidak sabar untuk menghadapi perlawanan tersebut yang sedikit sebanyak bakal mempengaruhi kedudukan Liga Super musim ini.

"Saya menganggap pertemuan dengan Kelantan pada 13 Julai depan merupakan perlawanan yang paling penting bagi Selangor pada saingan Liga Super musim ini.

"Saya akan pastikan semua pemain memberi tumpuan sepenuhnya untuk perlawanan tersebut dan pastinya kami mahukan tiga mata penuh," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Selangor kini mengungguli tangga teratas Liga Super dengan 53 mata manakala Kelantan di tangga kedua dengan 45 mata. Terengganu pula di tempat ketiga dengan 38 mata.

Pada perlawanan malam kelmarin, Selangor menang 2-1 ke atas Johor hasil jaringan Amri Yahyah dan Safiq Rahim di Larkin, Johor Bahru manakala Kelantan menewaskan Perak 2-0 di Kota Bharu.

Devan berkata: "Persembahan Selangor semalam (kelmarin) tidak berada pada tahap sebenar dan pemain mempamerkan aksi kurang bermaya. Mungkin kerana faktor keletihan. Tapi yang penting, tiga mata penuh berjaya diraih."

Jika Selangor berjaya menewaskan Kelantan pada 13 Julai depan, mereka akan mengumpul 56 mata manakala Kelantan yang kekal dengan 45 mata hanya boleh mengumpul maksimum 60 mata pada baki lima perlawanan selepas itu.

Ini bermakna, Selangor hanya perlu menang dua daripada baki lima perlawanan mereka sama ada ketika bertemu Perak, Pulau Pinang, T-Team, Terengganu atau Kedah untuk mengumpul 62 mata yang tidak mampu dipintas Kelantan.

"Jadi sepanjang rehat panjang ini, Selangor akan berlatih seperti biasa dan mengadakan beberapa aksi persahabatan untuk memastikan keadaan fizikal pemain kekal pada tahap terbaik.

"Saya juga akan fokuskan kepada kekuatan mental pemain kerana pada penghujung saingan liga, ia menjadi sangat penting untuk terus meraih kemenangan," kata Devan.

Sumber : Kosmo

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...