Grab the widget 

Wednesday, July 28, 2010

Kagum dengan KAFA

AHMAD SHABERY (kiri) menyampaikan sijil The Malaysia Book of Records kepada Annuar (tiga dari kanan) pada majlis perasmian Karnival 2010 The Red Warriors di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu kelmarin.

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjadi persatuan bola sepak pertama di negara ini mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records kerana mempunyai radio online rasminya, TheRedWarriorsFM (Trw.FM) selain mengeluarkan produk perniagaan jenama Warriors.

Sijil rekod tersebut diserahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek kepada Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dan disaksikan oleh wakil Malaysia Book of Records, Leona Paul.

Majlis penyerahan sijil itu diadakan sempena perasmian Karnival The Red Warriors di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam kelmarin.
Trw.FM dilancarkan oleh Ahmad Shabery pada 21 Mei lalu manakala produk perniagaan jenama Warriors ialah jersi, seluar, jam, baju-T, topi, pelekat kenderaan dan beg.

Selain itu, KAFA juga membuka kafe The Red Warriors Stations yang terletak di bangunan Pusat Perdagangan Kelantan (KTC), Kota Bharu.

Ahmad Shabery pada sidang akhbar selepas majlis tersebut berkata, beliau kagum dengan kemajuan KAFA dalam usaha mengangkat imej bola sepak tanah air setaraf kelab-kelab bola sepak tersohor luar negara.

Beliau berkata, langkah tersebut selaras dengan usaha persatuan itu untuk memastikan bola sepak menjadi sebuah industri perniagaan yang menguntungkan dan mampu menjana pendapatan kepada pasukan.

Tambahnya, keupayaan KAFA dalam menjadikan bola sepak sebagai satu perniagaan memberikan peluang kepada mereka untuk berdikari.

“Di negara maju, konsep ini sudah lama diamalkan apabila pasukan bola sepak menjadikan sukan ini sebagai satu industri yang mampu menjana pendapatan dan membuka peluang pekerjaan,” katanya.

Menurut Ahmad Shabery, inisiatif KAFA merupakan contoh yang perlu diteladani oleh persatuan bola sepak lain di negara ini.

“Ini cara baru dan gelombang baru yang bermula di Kota Bharu. Idea ini memberi konsep baru dalam pembangunan sukan bola sepak negara,” ujarnya.

Monday, July 19, 2010

Kelantan belum putus asa

  • MOHD. BADRI (dua dari kiri) meledakkan gol kedua Kelantan pada aksi Liga Supar menentang Kuala Lumpur di Stadium KLFA, Cheras kelmarin.

KELANTAN tetap mengharapkan keajaiban dalam usaha memintas Selangor ketika saingan Liga Super sudah hampir menutup tirai.

Masih ada tiga perlawanan lagi untuk diharungi dan skuad The Red Warriors itu tidak rela kehilangan mata sambil mengharapkan Selangor mengalami kekalahan.

Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim tetap yakin bahawa pasukannya masih mampu untuk mencabar kejuaraan Liga Super musim ini daripada Selangor biarpun dibezakan dengan lima mata.

Menurutnya, baki tiga perlawanan yang ada mesti digunakan sebaik mungkin oleh pasukannya untuk terus memberikan tekanan ke atas pendahulu liga itu yang terpaksa menentang pasukan elit pada penghujung saingan.

"Bagi saya, peluang masih lagi terbuka, walaupun berbaki tiga perlawanan, kelebihan tampak berpihak kepada Kelantan iaitu beraksi dua kali di tempat sendiri dan menentang Johor FC di gelanggang lawan.

"Kita akan lebih berpuas hati berada di tempat kedua sekiranya semangat melawan pasukan hingga ke perlawanan terakhir dan bukannya menyerahkan mahkota kejuaraan begitu sahaja," katanya ketika dihubungi semalam.

Ketika diminta mengulas mengenai aksi anak-anak buahnya ketika bertemu Kuala Lumpur malam kelmarin, Azman memberitahu, beliau berpuas hati dengan mutu persembahan yang di tunjukkan para pemainnya.

Katanya, kemenangan pada perlawanan itu begitu berharga buat pasukan dalam usaha merapatkan jurang mata.

Dalam pada itu, Azman turut menghamburkan pujian buat penyokong setia yang terus memberikan sokongan padu buat Kelantan.

"Walaupun kita bermain di tempat lawan, penyokong tetap datang memberikan sokongan padu. Saya ucapkan terima kasih buat penyokong atas sokongan yang diberikan setiap kali kita beraksi," ujarnya.

Pada perlawanan malam kelmarin, Kelantan terus menghimpit pendahulu Liga Super, Selangor selepas mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium KLFA, Cheras.

Kelantan membuka tirai jaringan menerusi Mohd. Nor Farhan Muhammad pada minit ke-29 selepas menanduk masuk bola hantaran Nor Shahrul Idlan Talhah untuk menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Norazlan Razali.

Mohd. Badri Razi menambah derita tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua Kelantan pada minit ke-62, sekali lagi melalui tandukan.

Sumber : Kosmo


Sunday, July 18, 2010

Kelantan terus hambat Selangor

PERSAINGAN menghampiri kemuncaknya dengan Selangor berada pada kedudukan terbaik, namun tidak mampu untuk selesa selepas Kelantan terus menghambat apabila kedua-dua pesaing itu masing-masing meraih kemenangan dalam Liga Super, malam tadi.

Juara bertahan, Selangor pada awalnya mendapati keadaan sukar berdepan pasukan tercorot, Pulau Pinang namun akhirnya mencipta kejayaan selesa 3-0 di Shah Alam menerusi jaringan Nasriq Baharom, minit ke-69 disusuli kapten Mohd Amri Yahyah (m-80) dan Safee Sali (m-83) ketika Kelantan menundukkan Kuala Lumpur 2-0 di tempat lawan.

Kemenangan itu membolehkan Gergasi Merah kekal menjarakkan diri dengan lima mata ke atas Kelantan dengan baki tiga perlawanan. Selangor akan memastikan gelaran dengan dua kemenangan atau satu kemenangan dan satu seri namun seandainya pencabar terdekat itu memenangi semua perlawanan mereka selepas ini.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, selepas Norazlan Razali menggagalkan tandukan Akhmal Rizal Ahmad Rakhli, penjaga gol KL itu tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalang tandukan Nor Farhan Muhammad daripada hantaran lintang dari pemain sama, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-29.

Babak kedua bersambung dengan the Red Warriors menggandakan kedudukan apabila Norazlan sekali lagi tertewas dengan tandukan Mohd Badhri Mohd Radzi yang menyambung lintangan Hairuddin Omar pada minit ke-63.

Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, Johor FC gagal mengutip mata penuh selepas sekadar seri 2-2 dengan T-Team yang kembali mengekori rapat tuan rumah tatkala aksi liga berbaki tiga perlawanan. Gol tua rumah adalah sumbangan Nurul Azwan Roya (m-15, 72) manakala pelawat menerusi Syamsul Kamal Mohamad (minit ke-61) dan Nor Fazly Alias.

Dalam perlawanan lain, Terengganu menewaskan Johor 2-0 hasil jaringan Joseph Kallang Tie pada minit ke-70 dan Mohd Zubir Moid Azmi (minit ke-75).

Monday, July 12, 2010

Peluang masih terbuka

KOTA BHARU – Keputusannya sudah pun tertulis. Tidak ada pemenang mutlak bagi Selangor mahupun Kelantan. Sebaliknya kedua-dua harus akur sekadar berkongsi mata dalam perlawanan yang disifatkan paling menarik dalam Liga Super setakat ini.

Ibarat perlawanan akhir, kedua-dua pasukan mempamerkan semangat juang luar biasa di mana aksi berbalas serangan persis mahu menjulang piala liga pada malam itu juga sedangkan perjalanan liga masih lagi berbaki empat perlawanan.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, beliau tertarik dengan semangat juang anak-anak buahnya yang kembali bangkit setelah ketinggalan 0-1 pada suatu ketika. “Mereka menunjukkan persembahan yang cemerlang dan saya fikir walaupun kita gagal mendapat tiga mata di Shah Alam, peluang masih terbuka untuk Kelantan memburu kejuaraan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Saya percaya kita boleh bermain lebih baik lagi daripada perlawanan malam semalam. Namun begitu, benteng pertahanan kita pula tidak berfungsi dengan baik, terlalu banyak memberi ruang kepada pemain Selangor.

“Saya ada masa enam hari bagi memperbaiki kelemahan tersebut sebelum menentang Kuala Lumpur di Cheras Sabtu ini. Kita tidak boleh kehilangan mata lagi dalam empat perlawanan terakhir selepas ini,” katanya.

Sathianathan berkata, perlawanan malam semalam seumpama perlawanan akhir kerana beliau percaya kedua-dua penyokong pasukan pasti berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan.

“Boleh kena sakit jantung juga apabila melihat aksi malam semalam. Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bahkan tempo permainan yang laju begitu menghiburkan penonton yang berada di stadium. Ditanya mengenai kecederaan yang dialami penyerang terbilang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha, Sathianathan berkata pemain itu sendiri mengambil risiko untuk turun beraksi.

“Dia (Norshahrul Idlan Talaha) mempunyai semangat berkobar-kobar untuk bermain walaupun menyedari kecederaannya belum pulih sepenuhnya. Akhirnya dia terpaksa dikeluarkan setelah kecederaan lamanya berulang kembali.

Dalam pada itu, Sathianathan turut menghamburkan pujian terhadap sokongan peminat setia Kelantan pada perlawanan itu. “Mereka tidak putus-putus memberi sokongan biarpun kita ketinggalan pada satu ketika. Sudah pasti saya berbangga kerana mempunyai penyokong seperti ini,” katanya.

Wednesday, July 7, 2010

Selangor Tersungkur,Kelantan Rapatkan Jurang

PENDAHULU Liga Super, Selangor tewas 0-1 kepada Perak dalam saingan Liga Malay- sia yang bersambung semula malam tadi se- lepas lebih sebulan berehat.

Pada aksi di Stadium Perak, Ipoh itu, Nazri Kamal muncul pemusnah terhadap hajat skuad kendalian K. Devan apabila me- ledakkan gol kemenangan pada minit ke-52.

Ini adalah kekalahan kedua Selangor selepas tunduk 0-4 kepada Terengganu pada 23 Januari lalu, sekali gus membuka semula peluang buat Kelantan untuk menghambat kedudukan dalam perebutan gelaran juara Liga Super musim ini.

Kelantan pula berjaya mengukuhkan kedudukan di tangga kedua dengan lima mata di belakang Selangor apabila menang tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Gol kemenangan Kelantan dijaringkan oleh Akmal Rizal Rakhli pada minit ke-73.
Sementara itu perlawanan lain menyaksi- kan Terengganu turut mencatat kemenangan dengan membelasah Johor FC 4-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Perlis pula tewas 0-1 kepada KL Plus di Stadium Utama Negeri, Kangar manakala Kedah diikat tanpa jaringan dengan Kuala Lumpur di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Johor pula menewaskan Pahang 2-0 di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos manakala Pulau Pinang pula tumpas 1-6 kepada pasukan T-Team di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...