Grab the widget 

Monday, July 19, 2010

Kelantan belum putus asa

  • MOHD. BADRI (dua dari kiri) meledakkan gol kedua Kelantan pada aksi Liga Supar menentang Kuala Lumpur di Stadium KLFA, Cheras kelmarin.

KELANTAN tetap mengharapkan keajaiban dalam usaha memintas Selangor ketika saingan Liga Super sudah hampir menutup tirai.

Masih ada tiga perlawanan lagi untuk diharungi dan skuad The Red Warriors itu tidak rela kehilangan mata sambil mengharapkan Selangor mengalami kekalahan.

Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim tetap yakin bahawa pasukannya masih mampu untuk mencabar kejuaraan Liga Super musim ini daripada Selangor biarpun dibezakan dengan lima mata.

Menurutnya, baki tiga perlawanan yang ada mesti digunakan sebaik mungkin oleh pasukannya untuk terus memberikan tekanan ke atas pendahulu liga itu yang terpaksa menentang pasukan elit pada penghujung saingan.

"Bagi saya, peluang masih lagi terbuka, walaupun berbaki tiga perlawanan, kelebihan tampak berpihak kepada Kelantan iaitu beraksi dua kali di tempat sendiri dan menentang Johor FC di gelanggang lawan.

"Kita akan lebih berpuas hati berada di tempat kedua sekiranya semangat melawan pasukan hingga ke perlawanan terakhir dan bukannya menyerahkan mahkota kejuaraan begitu sahaja," katanya ketika dihubungi semalam.

Ketika diminta mengulas mengenai aksi anak-anak buahnya ketika bertemu Kuala Lumpur malam kelmarin, Azman memberitahu, beliau berpuas hati dengan mutu persembahan yang di tunjukkan para pemainnya.

Katanya, kemenangan pada perlawanan itu begitu berharga buat pasukan dalam usaha merapatkan jurang mata.

Dalam pada itu, Azman turut menghamburkan pujian buat penyokong setia yang terus memberikan sokongan padu buat Kelantan.

"Walaupun kita bermain di tempat lawan, penyokong tetap datang memberikan sokongan padu. Saya ucapkan terima kasih buat penyokong atas sokongan yang diberikan setiap kali kita beraksi," ujarnya.

Pada perlawanan malam kelmarin, Kelantan terus menghimpit pendahulu Liga Super, Selangor selepas mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium KLFA, Cheras.

Kelantan membuka tirai jaringan menerusi Mohd. Nor Farhan Muhammad pada minit ke-29 selepas menanduk masuk bola hantaran Nor Shahrul Idlan Talhah untuk menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Norazlan Razali.

Mohd. Badri Razi menambah derita tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua Kelantan pada minit ke-62, sekali lagi melalui tandukan.

Sumber : Kosmo


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...