Grab the widget 

Wednesday, August 4, 2010

Liga Super labuhkan tirai


Oleh Norliza Wasilan, Azizan Hashim, Hamid Salleh, Bashah Zainol Abidin, Kamudin Baharom dan Rizar Mohd Noor bhsukan@bharian.com.my2010/08/04



KAPTEN Kelantan, Indra Putra Mahayuddin (dua dari kiri) cuba melepasi tiga pertahanan T-Team dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mohamad Ke IV, malam tadi.




PENYERANG Terengganu, Mohd Ashaari Shamsuddin mengesahkan Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak miliknya apabila melebarkan jumlah jaringan kepada 18 gol ketika menewaskan KL Plus 1-0 pada perlawanan penutup tirai Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu malam tadi.

Terengganu yang kemenangannya tidak mampu mengubah kedudukan tangga ketiga di belakang juara, Selangor dan penghuni tangga kedua, Kelantan, membuka jaringan pada minit ke-34 apabila Mohd Ashaari merembat deras hantaran cantik Manaf Mamat.

Di Stadium Darul Aman, Kedah menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk menumpaskan juara, Selangor, 2-0 hasil jaringan Faizal Abu Bakar (m10) dan Baddrol Bakhtiar (m70) untuk melonjak ke tangga keenam.

Di Stadium Utama Negeri, Kangar, Perlis menundukkan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan Ahmad Aminuddin Shahruddin (m31) dan Mohd Azrul Ahmad yang menyempurnakan sepakan penalti selepas pertahanan pelawat, Mohd Shukor Adan menjatuhkan Mohd Faiz Subri pada minit ke-49.

Di Stadium Darulmakmur, tuan rumah Pahang mengutip tiga mata terakhir selepas menewaskan penghuni tangga keempat, Johor FC 3-0, dan berjaya memintas KL Plus untuk menamatkan saingan musim ini di tangga kelapan.

Di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kelantan berdepan saingan sengit bertemu pasukan jiran, T-Team untuk keputusan 0-0. T-Team turun satu tangga dengan 27 mata bagi menamatkan saingan di tangga ketujuh selepas dipintas Kedah.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, tuan rumah Johor yang menghuni tangga kedua tercorot terus malang apabila ditewaskan Kuala Lumpur 1-0 manakala di Stadium Perak, tuan rumah membelasah pasukan tercorot Pulau Pinang 4-0 untuk memintas Kuala Lumpur di tangga ke-10

Kelantan harus kekal prestasi

KOTA BHARU - Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa, mahu pemain Kelantan mengekalkan prestasi seperti di dalam Liga Super bagi menghadapi cabaran lebih besar dalam saingan Piala Malaysia.

"Langkah ini penting bagi merealisasikan hasrat Kelantan untuk muncul juara Piala Malaysia tercapai dan terus unggul pada musim akan datang," katanya pada majlis meraikan pemilihannya sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), di sini, semalam.

Kelantan mengungguli tangga kedua Liga Super di belakang Selangor.
Beliau teruja kerana tahap permainan dan sokongan peminat kepada sukan bola sepak di

Kelantan begitu luar biasa sejak kebelakangan ini, yang boleh membantu pasukan Red Warriors terus mengungguli persada boleh sepak tempatan.

"Sehubungan itu, apa sahaja tindak tanduk pihak pengurusan KAFA dan kelab-kelab gabungan di bawahnya, hendaklah menuju ke arah kemajuan di bidang ini.

"Semua pihak, sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak, perlu memainkan peranan penting dalam memastikan mutu bola sepak Kelantan terus unggul di persada kebangsaan dan antarabangsa," katanya. - Bernama

Tuesday, August 3, 2010

Annuar tetap terajui KAFA

ANNUAR (tengah) diberi sambutan meriah oleh Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalan.


TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa membayangkan hasrat untuk mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Bola Sepak Kelantan (KAFA) walaupun mengakui tugasnya akan lebih berat dan mencabar selepas ini.

Beliau berkata, tidak perlu untuknya melepaskan jawatan Presiden KAFA memandangkan tidak terdapat peraturan yang mewajibkan beliau meletakkan jawatan dalam KAFA selepas dipilih menyandang jawatan Timbalan Presiden FAM.

Bagaimanapun, beliau akan mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli majlis KAFA mengenai kedudukannya itu.

“Pada masa ini saya masih Presiden KAFA tetapi saya akan membincangkan kedudukan saya dengan ahli-ahli majlis KAFA selepas ini.

“Saya mungkin tidak dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada pasukan Kelantan memandangkan tugas saya selepas ini membawa cabaran pasukan Malaysia ke peringkat antarabangsa,” kata- nya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam.

Kira-kira 100 penyokong Kelantan menyambut kepulangan Annuar selepas dipilih menduduki jawatan Timbalan Presiden FAM di lapangan terbang tersebut.

Annuar berkata, pada masa ini KAFA perlu melahirkan barisan pemimpin pelapis untuk menerajui KAFA pada masa depan.

“Saya tidak semestinya mengekalkan jawatan Presiden KAFA dalam tempoh yang lama, KAFA perlu mempunyai pemimpin pelapis yang berkaliber,” ujarnya.

Dalam pada itu, Annuar memberitahu, beliau akan menyiapkan cadangannya untuk dikemukakan kepada FAM bagi meningkatkan semula martabat pasukan bola sepak negara semasa mengerjakan umrah pada bulan Ramadan ini.

Tambahnya, beliau akan mengemukakan cadangan tersebut kepada FAM untuk dipertimbangkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...