Grab the widget 

Tuesday, August 3, 2010

Annuar tetap terajui KAFA

ANNUAR (tengah) diberi sambutan meriah oleh Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalan.


TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa membayangkan hasrat untuk mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Bola Sepak Kelantan (KAFA) walaupun mengakui tugasnya akan lebih berat dan mencabar selepas ini.

Beliau berkata, tidak perlu untuknya melepaskan jawatan Presiden KAFA memandangkan tidak terdapat peraturan yang mewajibkan beliau meletakkan jawatan dalam KAFA selepas dipilih menyandang jawatan Timbalan Presiden FAM.

Bagaimanapun, beliau akan mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli majlis KAFA mengenai kedudukannya itu.

“Pada masa ini saya masih Presiden KAFA tetapi saya akan membincangkan kedudukan saya dengan ahli-ahli majlis KAFA selepas ini.

“Saya mungkin tidak dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada pasukan Kelantan memandangkan tugas saya selepas ini membawa cabaran pasukan Malaysia ke peringkat antarabangsa,” kata- nya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam.

Kira-kira 100 penyokong Kelantan menyambut kepulangan Annuar selepas dipilih menduduki jawatan Timbalan Presiden FAM di lapangan terbang tersebut.

Annuar berkata, pada masa ini KAFA perlu melahirkan barisan pemimpin pelapis untuk menerajui KAFA pada masa depan.

“Saya tidak semestinya mengekalkan jawatan Presiden KAFA dalam tempoh yang lama, KAFA perlu mempunyai pemimpin pelapis yang berkaliber,” ujarnya.

Dalam pada itu, Annuar memberitahu, beliau akan menyiapkan cadangannya untuk dikemukakan kepada FAM bagi meningkatkan semula martabat pasukan bola sepak negara semasa mengerjakan umrah pada bulan Ramadan ini.

Tambahnya, beliau akan mengemukakan cadangan tersebut kepada FAM untuk dipertimbangkan.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...