Grab the widget 

Saturday, September 18, 2010

Kelantan menang, NS-KL Plus terikat

Oleh Syed Riduan Ahmad dan Mohd Amin Jalilbhsukan@bharian.com.my2010/09/18


BEKAS penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli muncul wira buat Kelantan untuk mencatat kemenangan sulung Kumpulan A Piala Malaysia, dengan menewaskan PKNS 1-0 di Stadium MBPJ, malam tadi.

Akmal yang masuk sembilan minit selepas babak kedua, menjaringkan gol kemenangan buat finalis musim lalu itu apabila mudah menyudahkan hantaran lintang Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-73.

Begitupun, tuan rumah yang dibimbing Abdul Rahman Ibrahim sepatutnya menyamakan kedudukan pada minit terakhir saingan apabila dihadiahkan sepakan penalti tetapi sepakan kapten Mohd Fadhil Mohd Hashim diselamatkan Syed Adney Syed Hussain.


Kemenangan tipis skuad kendalian B Sathianathan itu menghidupkan kembali peluang mereka selepas dikecewakan juara bertahan, Negeri Sembilan 1-0 di gelanggang sendiri, Selasa lalu.

Sebaliknya, Negeri Sembilan gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan yang sama apabila sekadar seri 1-1 ketika menentang KL PLUS di Stadium Tuan Abdul Rahman Paroi.

Pelawat yang dibimbing Janos Krecska dan tewas dalam perlawanan pertama kepada PKNS terlebih dulu mengejutkan tuan rumah apabila mendahului 1-0 menerusi Irwan Fadzli Idrus yang menanduk masuk sepakan sudut Mohd Abdul Aziz Ismail pada minit ke-36.

Begitupun, Rezal Zambery Yahya menjadi penyelamat untuk menceriakan kira-kira 3,000 penyokong setia tuan rumah apabila menjaringkan gol penyamaan dengan menanduk masuk hantaran Shukor Adan pada minit ke-63.

Negeri Sembilan kini memimpin Kumpulan A dengan 4 mata hasil satu kemenangan dan satu seri, diikuti Kelantan dan PKNS yang berkongsi 3 mata manakala KL Plus hanya memungut satu mata.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...