Grab the widget 

Friday, October 29, 2010

Habuan menanti jika menang

KOTA BHARU - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta penyokong Kelantan yang menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok tidak menimbulkan kekecohan yang memalukan negeri itu.

Beliau, sebaliknya meminta penyokong yang bertandang ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan perlawanan The Red Warriors dengan Negeri Sembilan itu memelihara semangat kesukanan yang tinggi.

"Dua perkara yang kita mahukan, pertama kita mahu menang dan kedua, jangan ada keganasan. Walaupun mengganas di padang bola ia akan memalukan negeri Kelantan. Kita tidak mahu perkara itu berlaku.

"Saya mahu penyokong Kelantan pergi dengan semangat kesukanan, suasana dan akhlak kena jaga. Nak sorak, soraklah tapi jangan sampai lempar botol. Itu budaya orang Eropah, mereka tidak ada akhlak," katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau yakin Kelantan akan menang dan para penyokong juga mampu menunjukkan teladan yang baik dengan sentiasa berpegang kepada akhlak yang dianjurkan oleh Islam.

Jelasnya, kerajaan negeri akan turut memberi insentif kepada pemain bola sepak Kelantan kerana berjaya ke peringkat akhir Piala Malaysia.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan jumlah insentif yang bakal dihadiahkan kepada pemain terbabit, tetapi berbeza dengan musim lalu.

"Insya-Allah kita akan berikan insentif kepada pemain cuma kalau saya beri pula pergi ke Mekah, hanya boleh dirasai oleh orang yang ke sana sahaja. Isteri dan anak-anak di rumah tak dapat merasa.

"Insya-Allah kita akan beri wang tunai supaya mereka (pemain) sekeluarga dapat rasa. Jumlahnya tak akan diberitahu. Kalau kalah pun kita akan beri juga sebagai tanda menghargai kesungguhan pemain," ujarnya.

Nik Aziz memberitahu, beliau akan diwakili oleh timbalannya, Datuk Ahmad Yakub untuk menyaksikan perlawanan tersebut sebagai tanda sokongan kepada pasukan Kelantan.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan memberikan cuti umum pada 31 Oktober ini bagi memudahkan penyokong ke Bukit Jalil menyaksikan perlawanan tersebut, Nik Abdul Aziz berkata: "Cuti tak boleh beri sebab dah cuti untuk pilihan raya (Galas) pada 4 November. Kerajaan negeri dah beri cuti peristiwa untuk pilihan raya, jadi kita tak boleh beri cuti untuk bola kali ini."

Sumber : Utusan

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...