Grab the widget 

Sunday, October 31, 2010

Kelantan Catat Sejarah, Muncul Juara Piala Malaysia 2010

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kelantan melakar sejarah negeri apabila buat julung kali menjulang Piala Malaysia, setelah menewaskan juara musim lepas Negeri Sembilan 2-1, pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini Sabtu malam.

Kemenangan itu turut menebus kehampaan tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada saingan akhir piala paling berprestij Liga Malaysia itu musim lepas, selain menamatkan kemarau selama 55 tahun sejak kali pertama Kelantan mara ke pusingan akhir pada 1955, ketika piala tersebut dikenali sebagai Piala H.M.S Malaya.

Negeri Sembilan memperolehi gol pertama seawal minit ke-13 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Shahurain Abu Samah.

Pengadil perlawanan Subkhiddin Mohd Salleh memberi sepakan itu kepada Negeri Sembilan setelah penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menjatuhkan S. Kunalan dalam kotak penalti.

Negeri Sembilan terus mengasak pintu gol Kelantan menerusi beberapa serangan namun gagal menembusi kekentalan benteng lawan yang dibarisi Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Farisham Ismail dan Rizal Fahmi Abdul Rosidi.

Bersambung babak kedua, 'The Red Warriors' yang ditemani sekurang-kurangya 60,000 penyokong terdesak untuk mencari gol dan melakukan beberapa asakan yang akhirnya membuahkan gol penyamaan pada minit ke-57.

Hantaran luar Norshahrul Idlan Talaha tidak disia-siakan Ketua Pasukan 'The Red Warriors' Hairuddin Omar yang menanduk dan merobek gol Negeri Sembilan.

Kelantan semakin garang apabila Mohd Badri Mohd Radzi menambah jaringan pada minit ke-65 hasil hantaran cantik Mohd Norfarhan Muhamad.

Ketiadaan tonggak utama Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak yang terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan menyebabkan Negeri Sembilan semakin tertekan apabila ketinggalan 1-2.

Bagi mengukuhkan kubu pertahanan, jurulatih Kelantan B. Sathianathan mengambil tindakan bijak memasukan Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Khairan Eroza Razali.

Strategi itu berjaya apabila tamat masa permainan menyaksikan Kelantan muncul juara Piala Malaysia musim ini selepas berjaya mempertahankan kedudukan 2-1 menewaskan Negeri Sembilan.

1 comments:

Ain Sarah Khadijah said...

sila perbetulkan penjaring gol pertama bukan skipper,,tapio hairudin omar..harap maklum

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...