Grab the widget 

Tuesday, October 12, 2010

Kelantan tidak gentar

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my




KELANTAN akan menagih pengalaman Akmal Rizal (kiri) untuk memusnahkan kubu Selangor.

“SELANGOR bukan sebuah pasukan yang digeruni. Mereka juga mempunyai kelemahan dan kami tidak perlu bimbang.”

Demikian tegas pengendali Kelantan, B. Sathianathan menjelang pertemuan dengan skuad The Red Giant itu pada pusingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini.

Bagi Sathia, pertembungan kali ini diibaratkan sebagai perlawanan akhir yang diawalkan selain kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri ketika pertemuan dalam Liga Super sebelum ini dan percaya tahap permainan akan berada pada paras tertinggi

Justeru, beliau berharap agar pemainnya berada dalam keadaan paling cergas termasuk pemain simpanan bagi menghadapai perlawanan terhebat itu.

“Selangor adalah sebuah pasukan yang biasa bermain perlawanan berprofil tinggi seperti ini, tetapi jangan lupa mereka juga mempunyai kekura- ngan. Jadi, saya mahu semua pemain bersedia untuk mencipta sesuatu.

“Selangor hanya menurunkan pasukan kedua ketika perlawanan terakhir tetapi pemain kita terpaksa bertungkus-lumus sehingga perlawanan terakhir peringkat kumpulan menyebabkan pemain-pemain kita agak keletihan selepas beraksi dalam tiga perlawanan dalam tempoh sembilan hari,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, untuk menjadi sebuah pasukan yang bergelar juara, ketakutan tidak seharusnya menjadi penghalang dalam diri pemain, siapa saja yang bakal ditentang, mereka perlu yakin.
Jelasnya, beliau pasti K. Devan dan anak-anak buahnya juga bimbang menghadapi Kelantan yang turun dengan reputasi sebagai naib juara Liga Super selain finalis Piala Malaysia musim lalu.

“Mereka juga pasti bimbang bertemu kita (Kelantan). Tekanan mungkin lebih kepada Selangor kerana mereka juara Liga Super, rekod tanpa kalah dalam kumpulan selain aksi pertama ini akan dilangsungkan di tempat mereka terlebih dahulu.

“Bagi saya, seri sudah cukup tetapi menang adalah satu bonus. Cuma saya mahu pemain- pemain saya pulang bersama jaringan gol sebanyak mungkin untuk meredakan tekanan ketika aksi di Kota Bharu,” ujarnya.

Bagaimanapun, ada khabar yang kurang gembira di kem Kelantan apabila beberapa pemain utamanya mengalami kecederaan seperti Azizi Mat Rose, Norshahrul Idlan Talaha serta Badri Radzi dan status mereka hanya akan diketahui hari ini.

Sumber : Kosmo

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...