Grab the widget 

Monday, October 25, 2010

Penggantungan Sathia tidak rencat Kelantan

SathianaTHan (kanan) mengucapkan tahniah kepada pemain selepas Kelantan mengalahkan Kedah pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed IV, kelmarin.


KOTA BHARU – Kelantan yang akan bertemu Negeri Sembilan pada final Piala Malaysia di Bukit Jalil, Sabtu ini, tidak mahu isu penggantungan ketua jurulatihnya, B. Sathianathan merencatkan semangat pemain untuk meraih kejuaraan berprestij itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, inilah masanya untuk pemain menghadiahkan kemenangan kepada Sathianathan, yang banyak berkorban untuk pasukan itu dengan membenam skuad `hoben jang hoben’.

“Kelantan akur dengan penggantungan Sathianathan dan saya yakin moral pemain Kelantan sama sekali tidak terjejas, sebagaimana yang ditunjukkan sewaktu menewaskan Kedah 1-0.

“Sebab itu peluang kali kedua bertemu Negeri Sembilan pada final, pemain perlu bersemangat tinggi dan buktikan kepada Sathia akan kemampuan kita di Bukit Jalil nanti,” katanya selepas separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed IV, kelmarin.

Pada perlawanan itu, Kelantan menewaskan pasukan Kenari 1-0 hasil sepakan sudut pemain kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-79.

Perlawanan akhir menentang Negeri Sembilan pada final nanti, mengulangi sejarah tahun lalu, yang menyaksikan Negeri Sembilan muncul juara pada edisi ke-83 piala tersebut.

Dua hari lalu, Lembaga Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggantung Sathianathan selama enam bulan dan denda sebanyak RM2,000 berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, Sathianathan dihukum atas kesalahan memberi kenyataan kepada media berhubung stadium tuan rumah, bagi perlawanan Perlis dan Terengganu ketika Liga Super, musim lepas.

Pada perlawanan kelmarin, Sathianathan hanya menyaksikan pasukannya bermain di tempat duduk penonton dengan dilihat menggunakan walkie talkie untuk memberi arahan kepada penolongnya, Hashim Mustapha dan pengurus pasukan, Azman Ibrahim.

Mengulas perlawanan itu, Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, beliau berpuas hati dengan corak permainan Kelantan, yang bermain bermati-matian untuk menewaskan Kedah.

“Walaupun menang tipis, kemampuan yang ditunjukkan kesebelasan utama anak buah Sathianathan sudah cukup meyakinkan kita tidak menghadapi masalah menentang Negeri Sembilan di Bukit Jalil nanti,” katanya.

Mengulas imbuhan, Annuar berkata Kafa akan memberi bonus kepada pemain kerana berjaya mara ke final.

Sumber : Utusan

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...