Grab the widget 

Thursday, December 30, 2010

Kekalahan ketiga untuk Pasukan Kelantan

Pasukan Kelantan mengalami kekalahan ketiga berturut turut dalam siri perlawanan persahabatan di lembah kelang.Pada petang semalam skuad Kelantan tewas 0-4 kepada Felda United yang beraksi di Stadium MPPJ.

Sebelum ini pasukan Kelantan juga tewas kepada Sarawak 1-2 dan tewas pada aksi pembukaan kepada Harimau Muda 1-4.


Tahniah Harimau Malaya



Sekalung tahniah buat skuad bolasepak Malaysia yang berjaya menjulang piala AFF Suzuki buat kali pertama sekali gus menamatkan penantian selama empat belas tahun.Pada perlawanan semalam yang beraksi dihadapan hampir 95,000 penyokong fanataik Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno Indonesia.

Berbekalkan tiga gol dibawa dari Bukit Jalil ternyata memberi kedudukan selesa untuk anak anak buah K.Rajagobal memberi saingan sengit kepada pasukan Indonesia sepanjang 90 minit perlawanan.

Biarpun tewas tipis 2-1 kepada Indonesia namun Malaysia berhak juara dengan kiraan agregat 4-2.Dengan kemenangan ini Pasukan Malaysia berjaya membawa balik Piala AFF ke bumi Malaysia dan memenangi wang tunai USD 100,000.

Wednesday, December 29, 2010

Kelantan tewas aksi sulung

KELANA JAYA – Skuad Liga Super Kelantan membuka tirai siri perlawanan persahabatan di Lembah Klang dengan aksi mengecewakan setelah tewas 4-1 kepada Harimau Muda A dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, malam semalam.

Dalam perlawanan tersebut, gol tunggal Kelantan telah dijaringkan oleh Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi menerusi sepakan penalti yang menyaksikan Kelantan terpaksa bermain dengan 10 pemain setelah penyerang, Muhammad Khalid Jamlus diperintah keluar padang kerana menerima kad merah pada babak awal permainan.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan ketika dihubungi berkata, kekalahan tersebut tidak menggusarkan kerana beliau sedar misi utama Kelantan mengadakan perlawanan tersebut adalah bagi mengukur sejauh mana kemampuan para pemainnya setelah hampir sebulan menjalani latihan.

“Kekalahan ini merupakan satu keputusan yang baik. Perlawanan seperti inilah yang saya nantikan. Apabila kita bertemu dengan lawan yang kuat dalam perlawanan yang kompetitif seperti ini, kita dapat mengesan kelemahan pasukan kita dengan sendirinya.

“Kekalahan ini membuka minda pemain sebenarnya. Sudah pasti mana-mana pasukan yang bertemu dengan kita akan bermain habis-habisan kerana mereka sedar kita adalah juara Piala Malaysia musim lalu. Ada pemain yang masih dalam keadaan mendabik dada, mereka ingat kita masih bergelar juara. Pemikiran seperti ini perlu dibuang.

“Saya tidak kecewa dengan kekalahan ini. Kita kena banyak belajar dan memperbaiki kelemahan terutamanya di bahagian pertahanan yang saya lihat tidak membentuk satu kombinasi yang baik. Para pemain perlu bekerja keras mengatasi kelemahan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sathianathan berkata, walaupun benteng pertahanan dilihat bermasalah namun pada masa yang sama beliau berpuas hati dengan persembahan dua baru iaitu K Soley dan Mohd Nurul Azwan Roya yang menunjukkan persembahan yang baik pada perlawanan itu.

“Mereka berdua berfungsi dengan baik. Kita mempunyai banyak peluang melalui gerakan serangan yang dilakukan oleh kedua-dua pemain sayap itu namun penyudah kita kurang berkesan. Ramzul (Zahini Adenan) walaupun cemerlang dalam kejohanan Piala Emas Raja-Raja baru-baru ini tetapi masih tercari-cari rentak sebenar beliau. Kita bagi masa kepada beliau.

“Sebab itulah saya katakan saya mempunyai tiga misi utama semasa berada di sini. Pertama, saya mahu mencari perlawanan persahabatan yang berkualiti, kedua saya mahu mengenal pasti barisan pemain yang mungkin akan disenaraikan bagi menghadapi Selangor dalam perlawanan Piala Sumbangsih pada 29 Januari dan ketiga, pemain kini masih lagi dalam fasa menjalani latihan keras dan saya perlu memantau tahap kecergasan mereka selain mengenal pasti kombinasi dan persefahaman yang terbaik melalui perlawanan seperti ini,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

* Selasa 28/12/2010- Sarawak(2) vs Kelantan (1)

Monday, December 27, 2010

Ujian sebenar menanti Kelantan

KOTA BHARU - Kemenangan dalam tiga perlawanan persahabatan sebelum ini masih belum memberi kepuasan kepada pengendali, B Sathianathan biarpun skuad The Red Warriors sudah menjalani latihan hampir sebulan lalu.

Dalam perlawanan persahabatan sebelum ini, Kelantan menumpaskan pasukan pilihan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) dengan kemenangan 8-0 dan mengalahkan pasukan pilihan Kelab-kelab dengan 3-0.

Terbaru, Kelantan sekali lagi unggul dengan kemenangan 3-0 ke atas pasukan yang beraksi dalam Liga FAM, kelab Melodi Jaya dari Johor dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Padang Penjara pada Jumaat lalu.

Gol Kelantan dijaringkan Ramzul Zahini Adenan, K Soley dan Mohd Nizab Ayub.

Sathianathan berkata, keputusan tiga perlawanan itu tidak menggembirakan beliau kerana pihak lawan disifatkan sebagai bukan lawan sebenar.

“Masih terlalu awal memperkatakan mengenai pasukan ini walau sudah terbentuk keserasian dalam kalangan pemain, namun masih banyak kerja yang perlu dilakukan dalam memperkemaskan persembahan pasukan secara keseluruhan,” katanya semalam.

Baginya, kesemua perlawanan itu adalah untuk melihat sejauh mana persefahaman terbentuk antara pemain memandangkan pasukan ini kini menggabungkan pemain lama dan baru.

“Dalam semua perlawanan persahabatan sebelum ini, saya memberi peluang kepada semua pemain turun beraksi dalam tempoh 45 minit, namun untuk empat perlawanan persahabatan akan datang, saya hanya akan menggunakan 13 atau 14 pemain beraksi dalam sepenuh masa,” katanya.

Menurutnya, empat perlawanan persahabatan yang dihadapi bermula hari ini memberi peluang kepada beliau menilai secara kolektif persembahan pasukan Kelantan secara keseluruhannya.

“Empat perlawanan ini cukup penting bagi saya untuk menilai kelemahan pasukan apabila bertemu pasukan yang kuat, sekurang-kurangnya kita mempunyai masa yang cukup untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

“Semua pemain baru yang bersama kita memang mempunyai kualiti tersendiri, tetapi yang penting saya perlu menerapkan corak permainan pasukan Kelantan kepada mereka,” katanya.

Sathianathan berkata, latihan selepas ini lebih tertumpu kepada bagaimana pemain bekerja keras tanpa bola.

"Jika mereka kehilangan bola, mereka perlu bekerja keras mendapatkannya semula," katanya.

Kelantan akan memulakan siri perlawanan persahabatan menentang skuad Harimau Muda A, pasukan bimbingan Ong Kim Swee yang mengutip pengalaman di Slovakia baru-baru ini, malam ini, sebelum menghadapi Sarawak, KL Felda United FC dan pendatang baru Liga Perdana musim depan, Sime Darby FC dalam perlawanan terakhir.

Sumber : Sinar Harian

Friday, December 24, 2010

Liga Super mula 29 Januari

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memutuskan bahawa saingan Liga Super 2011 bakal bermula 29 Januari depan manakala Liga Perdana 2011 pula bermula dua hari selepas itu.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah menemukan Selangor dan Kelantan turut akan berlangsung pada 29 Januari di Stadium Shah Alam.

"Sebelum ini, kita telah menetapkan perlawanan sumbangsih serta aksi pertama Liga Super 2011 untuk pasukan lain akan berlangsung pada 15 Januari depan.

"Namun setelah diteliti berhubung aspek teknikal dan penajaan, kita akan mulakan Liga Super 2011 pada 29 Januari depan," kata Hamidin selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Kosmo! difahamkan, kontrak Telekom Malaysia Berhad (TM) selaku penaja utama Liga Malaysia sejak 2004 hanya akan berakhir pada 26 Januari depan dan TM tidak berhasrat menyambung tajaan untuk musim 2011.

Justeru, FAM terpaksa mencari tarikh selepas 26 Januari depan untuk memulakan saingan musim 2011 di bawah label penaja baru.

Hamidin turut memberitahu, saingan Liga Super 2011 tidak akan dihentikan ketika skuad Harimau Muda A menentang Pakistan untuk aksi pusingan pertama kelayakan Sukan Olimpik 2012 pada 23 Februari dan 9 Mac depan.

"Saingan tidak akan dihentikan. Harimau Muda A mempunyai baki pemain lain yang boleh diturunkan untuk aksi Liga Super ketika sebahagian besar pemain mereka beraksi pada kelayakan Olimpik itu," jelas Hamidin.

Namun tindakan itu turut menjejaskan beberapa pasukan lain kerana jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee bercadang menyerapkan Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Faizal Abu Bakar dan Ahmad Shakir Md. Ali (Kedah) untuk dua aksi kelayakan Olimpik itu.

Sementara itu, JKPT semalam turut memutuskan saingan Piala Presiden akan bermula 10 Februari, Liga FAM bermula 13 Februari, final Piala FA pada 11 Jun, Piala Malaysia bermula 7 September dan final Piala Malaysia pada 29 Oktober.

Sumber : Kosmo

Monday, December 13, 2010

Kegemilangan bola sepak Kelantan

PEMAIN skuad Kelantan meraikan kejayaan mereka muncul juara Puncak Piala Emas Raja-Raja edisi ke-70.

PERSATUAN Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) berpuas hati dengan penganjuran edisi ke-70 saingan Puncak Piala Emas Raja-Raja dan berharap kejohanan tahun depan dapat dianjurkan pada skala lebih besar selain terus menjadi medan penting mencungkil bakat baru.

Presiden PBSMM, Datuk Takiyuddin Hassan berharap kejohanan Piala Emas Raja-Raja dapat dijadikan pentas buat pasukan-pasukan mengenal pasti, mencungkil dan mengasah bakat pemain-pemain yang berpotensi untuk diketengahkan dalam skuad utama Liga Perdana atau Liga Super.

“Matlamat kami ialah menjadikan kejohanan ini sebagai medan bagi pasukan-pasukan mengetengahkan bakat pemain ke saingan liga lebih tinggi,” katanya.

Menurut Takiyuddin, sebagai antara kejohanan tertua di negara ini, Piala Emas Raja-Raja boleh memainkan peranan signifikan dalam membantu usaha pembangunan bola sepak tanah air terutamanya penyaluran barisan pemain pelapis.

Menerusi siaran langsung di Astro Arena (Saluran 801) dan sokongan padu media cetak dan elektronik tahun ini, pertandingan itu dapat diikuti dengan lebih dekat, sekali gus memberi pendedahan dan meningkatkan profil pemain dan pasukan.

“Peranan media amat penting, terutama bagi kejohanan seperti Piala Emas Raja-Raja yang selama ini dianjurkan dengan bajet yang amat terhad,” katanya sambil berterima kasih kepada Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. yang merupakan penaja utama kejohanan.

Buat tahun kedua berturut-turut, Puncak Niaga muncul sebagai penaja utama dengan jumlah tajaan RM200,000 untuk edisi tahun ini.

Pengurusan PBSMM juga berharap dapat melakukan penambahbaikan bagi memastikan kualiti pertandingan terus meningkat dan dapat menarik pembabitan lebih banyak penaja.

Tahun ini, pendaftaran lima pemain dari Liga Super dibenarkan dengan tujuan merancakkan saingan dan memberi peluang kepada pasukan memperkuatkan barisan mereka.

Masalah jadual juga bakal diperhalusi terutama apabila mengambil kira pertandingan di akhir tahun yang sering dibelenggu masalah hujan dan musim tengkujuh.

Menurut Takiyuddin, PBSMM mempunyai beberapa perancangan masa depan termasuk membentuk sebuah pasukan untuk bersaing dalam Liga FAM dan liga-liga yang lebih tinggi.

“Ini tentunya memerlukan kos yang amat tinggi, harapan kami ia menjadi realiti pada tahun 2012. Pada masa ini, kami merancang untuk menjana dana menerusi aktiviti amal,” katanya.

Saingan tahun ini bermula sejak 5 November lepas tanpa menggunakan sistem zon seperti lazimnya. Sebaliknya 16 pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan tanpa mengira zon.

Empat venue dipilih bagi perlawanan peringkat kumpulan iaitu Stadium Utama Negeri Kangar, Stadium Perak di Ipoh, Stadium UiTM di Shah Alam dan Stadium Sultan Muhammed ke-IV di Kota Bharu.

Dalam pada itu, penganjuran perlawanan akhir di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV di Kota Bharu semalam berjalan lancar tanpa sebarang insiden buruk seperti edisi tahun lepas.

Kelantan melengkapkan kejayaan tahun ini dengan mengetepikan Kedah pada perlawanan akhir menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0.

Ia merupakan kejayaan berganda buat Kelantan yang sebelum ini berjaya membawa pulang Piala Malaysia ke Kota Bharu.

Kelantan menundukkan Kedah 4- 3 menerusi penentuan penalti, sekali gus memberikan hadiah berganda buat 10,000 ribu penyokong Red Warriors yang hadir memberi sokongan padu di Stadium Sultan Mouhammed ke-IV Kota Bharu itu.

Dengan kemenangan itu, Kelantan meraih hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 dan piala manakala Rosairil Asrol Mat Nor dipilih sebagai Pemain Terbaik kejohanan.

Sumber : Kosmo

Thursday, December 9, 2010

Padah tak balas notis

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my

DARI KIRI:NOR FARHAN, AZIZI, INDRA PUTRA

TIGA bekas pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Muhammad dan Azizi Mat Rose berdepan kemungkinan digantung satu musim andai mereka didapati bersalah melanggar kontrak bersama pasukan lama mereka, Kelantan.

Indra, Farhan dan Azizi dikatakan telah menyertai pasukan T-Team untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2011 dan mereka dikatakan sudah turun menjalani latihan di Kuala Terengganu pada minggu ini.

Mereka didakwa tidak membalas notis tawaran lanjutan kontrak yang dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang membawa maksud pemain-pemain tersebut telah bersetuju untuk bersama Kelantan bagi musim 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pemain yang melanggar syarat tersebut boleh dikenakan hukuman penggantungan selama semusim.

“Notis tersebut dikeluarkan pasukan dalam tempoh tiga bulan sebelum kontrak tamat. Jika pemain mendapat tawaran pasukan lain untuk musim berikutnya, mereka perlu membalas notis itu dalam tempoh 14 hari.

“Namun jika pemain tidak balas langsung notis tersebut, maka secara automatik mereka dianggap bersetuju menyambung kontrak dan perjanjian bersama pasukan itu akan terus berkuat kuasa untuk musim berikutnya.

“Tetapi jika pemain tidak menerima notis lanjutan kontrak itu dalam tempoh tiga bulan terakhir sebelum kontrak tamat, barulah dia bebas untuk berpindah ke pasukan lain,” jelas Takiyuddin pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Take a quiz & stand a chance to win Transitions lenses!

Namun Kosmo! difahamkan, dua lagi bekas pemain Kelantan yang berhijrah ke pasukan baru iaitu Akmal Rizal Rakhli (Perak) dan Hairuddin Omar (Negeri Sembilan) tidak berdepan masalah kerana mereka tidak menerima notis tawaran lanjutan kontrak daripada KAFA.

Takiyuddin memberitahu, setakat ini jawatankuasa FAM itu masih belum menerima sebarang aduan atau bantahan daripada mana-mana persatuan negeri dan kelab termasuk KAFA.

“FAM belum menerima apa-apa bantahan. Tetapi kita tidak tahu jika ada persatuan yang akan mengemukakan bantahan ini selepas tarikh akhir pendaftaran pemain musim 2011 iaitu pada 15 Disember ini.

“Jika selepas tarikh tersebut pemain yang sudah menandatangani kontrak bersama pasukan baru dan mahu berpatah balik kepada pasukan lama kerana mereka melanggar syarat tersebut, ia sudah terlambat.

“Ini merupakan peringatan penting buat semua pemain supaya bertindak mengikut peruntukan dalam kontrak sebelum mereka membuat apa-apa keputusan,” tegasnya.

Sumber: Kosmo
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...