Grab the widget 

Monday, December 27, 2010

Ujian sebenar menanti Kelantan

KOTA BHARU - Kemenangan dalam tiga perlawanan persahabatan sebelum ini masih belum memberi kepuasan kepada pengendali, B Sathianathan biarpun skuad The Red Warriors sudah menjalani latihan hampir sebulan lalu.

Dalam perlawanan persahabatan sebelum ini, Kelantan menumpaskan pasukan pilihan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) dengan kemenangan 8-0 dan mengalahkan pasukan pilihan Kelab-kelab dengan 3-0.

Terbaru, Kelantan sekali lagi unggul dengan kemenangan 3-0 ke atas pasukan yang beraksi dalam Liga FAM, kelab Melodi Jaya dari Johor dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Padang Penjara pada Jumaat lalu.

Gol Kelantan dijaringkan Ramzul Zahini Adenan, K Soley dan Mohd Nizab Ayub.

Sathianathan berkata, keputusan tiga perlawanan itu tidak menggembirakan beliau kerana pihak lawan disifatkan sebagai bukan lawan sebenar.

“Masih terlalu awal memperkatakan mengenai pasukan ini walau sudah terbentuk keserasian dalam kalangan pemain, namun masih banyak kerja yang perlu dilakukan dalam memperkemaskan persembahan pasukan secara keseluruhan,” katanya semalam.

Baginya, kesemua perlawanan itu adalah untuk melihat sejauh mana persefahaman terbentuk antara pemain memandangkan pasukan ini kini menggabungkan pemain lama dan baru.

“Dalam semua perlawanan persahabatan sebelum ini, saya memberi peluang kepada semua pemain turun beraksi dalam tempoh 45 minit, namun untuk empat perlawanan persahabatan akan datang, saya hanya akan menggunakan 13 atau 14 pemain beraksi dalam sepenuh masa,” katanya.

Menurutnya, empat perlawanan persahabatan yang dihadapi bermula hari ini memberi peluang kepada beliau menilai secara kolektif persembahan pasukan Kelantan secara keseluruhannya.

“Empat perlawanan ini cukup penting bagi saya untuk menilai kelemahan pasukan apabila bertemu pasukan yang kuat, sekurang-kurangnya kita mempunyai masa yang cukup untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

“Semua pemain baru yang bersama kita memang mempunyai kualiti tersendiri, tetapi yang penting saya perlu menerapkan corak permainan pasukan Kelantan kepada mereka,” katanya.

Sathianathan berkata, latihan selepas ini lebih tertumpu kepada bagaimana pemain bekerja keras tanpa bola.

"Jika mereka kehilangan bola, mereka perlu bekerja keras mendapatkannya semula," katanya.

Kelantan akan memulakan siri perlawanan persahabatan menentang skuad Harimau Muda A, pasukan bimbingan Ong Kim Swee yang mengutip pengalaman di Slovakia baru-baru ini, malam ini, sebelum menghadapi Sarawak, KL Felda United FC dan pendatang baru Liga Perdana musim depan, Sime Darby FC dalam perlawanan terakhir.

Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...