Grab the widget 

Saturday, January 8, 2011

'Kelantan di hatiku'

NORSHAHRUL...sudah ikat kontrak bersama Kelantan.

PELUANG beraksi di liga luar negara mungkin hanya datang sekali apatah lagi ia hadir seperti ‘satu penghargaan’ selepas mempamerkan aksi terbaik dan mengerah keringat hampir sebulan di Piala Suzuki AFF pada Disember lalu.

Namun, penyerang lincah kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha terpaksa menolaknya meskipun sudah mendapat tawaran daripada tiga kelab Indonesia termasuk kelab Liga Super Indonesia (ISL), Sriwijaya FC.

Menurut pemain berusia 24 tahun kelahiran Besut, Terengganu, tindakan itu diambil kerana sudah mengikat kontrak untuk kekal bersama juara Piala Malaysia 2010, Kelantan sebelum saingan Piala Suzuki AFF bermula lagi.

“Saya akui tawaran itu agak lumayan dan memberi peluang bermain di luar negara namun saya terpaksa menolaknya kerana sudah tersenarai bersama skuad Kelantan dalam saingan Liga Malaysia (LM) 2011 yang bermula kira-kira tiga minggu lagi,” katanya yang dipilih Pemain Paling Bernilai dan Penyerang Terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan tahun lalu.

Norshahrul kini menumpukan sepenuh perhatian untuk membantu Kelantan mencapai sasaran ditetapkan iaitu menjadi empat pasukan teratas Liga Super, separuh akhir Piala FA dan mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia serta layak beraksi di Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 2012.

Pada saingan Piala Suzuki AFF itu, Norshahrul menggegar jaring lawan sebanyak dua kali namun dilihat sebagai penggerak utama jentera serangan terutama ketika membantu Malaysia membenam Indonesia 3-0 pada final pertama di Bukit Jalil.

Keberanian dan kemahirannya menggelecek pemain pertahanan Indonesia berjaya membuka ruang kepada dua jaringan Malaysia pada perlawanan itu dan seterusnya membantu Malaysia menjulang piala itu buat kali pertama sejak mula dipertandingkan 14 tahun lalu.
“Saya sangat gembira dengan kejayaan yang dicapai bersama Kelantan dan skuad kebangsaan pada tahun lalu. Saya harap meneruskan aksi konsisten seperti itu pada saingan LM musim ini.

“Namun sebagai pemain muda, saya sedar masih banyak perlu dipelajari untuk menjadi penyerang berkualiti dan benar-benar digeruni lawan,” jelasnya.

Selain Norshahrul, seorang lagi penyerang kebangsaan Mohd Safee Sali yang juga penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol turut dilapor mendapat tawaran daripada beberapa kelab Indonesia dan Vietnam.

Sumber : Harian Metro

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...