Grab the widget 

Tuesday, January 11, 2011

Kelantan uji Pulau Pinang

KOTA BHARU – Skuad Liga Super Kelantan akan turun bertemu dengan pasukan Pulau Pinang dalam satu perlawanan persahabatan yang akan berlangsung di padang Institut Perguruan Kampus Kota Bharu, Pengkalan Chepa petang ini.

Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim selain bertemu dengan Pulau Pinang petang ini, beberapa siri perlawanan persahabatan menentang pasukan utara tanah air juga telah diatur sebagai persediaan menghadapi Selangor bagi merebut Piala Sumbangsih penghujung bulan ini.

“Kita akan turun menentang pasukan Pulau Pinang dalam perlawanan persahabatan petang ini. Perlawanan ini begitu penting untuk kita mengukur sejauh mana keupayaan pasukan setelah tewas tiga daripada empat perlawanan persahabatan di Lembah Kelang baru-baru ini.

“Perlawanan persahabatan ini juga menyaksikan kita sekali lagi kempunan untuk mendapatkan khidmat dua pemain kebangsaan iaitu Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat setelah mereka kembali ke ibu negara kerana perlu menghadiri beberapa majlis penting sempena kejayaan skuad kebangsaan muncul juara Piala AFF Suzuki baru-baru ini.

“Selain itu, kita akan berkelana ke utara tanah air dengan mengadakan empat perlawanan persahabatan di sana. Kita akan bertemu dengan Kedah pada 15 Januari ini, USM Pulau Pinang FC (17 Januari), Perlis (18 Januari) dan sekali lagi bertemu Pulau Pinang (21 Januari) sebelum kembali ke Kota Bharu bagi menjalani persiapan terakhir selama seminggu sebelum menentang Selangor pada 29 Januari nanti,” katanya, semalam.

Azman berkata, walaupun keputusan perlawanan persahabatan di Lembah Kelang baru-baru ini tidak menghasilkan sesuatu yang positif bagi pasukan Kelantan tetapi beliau percaya masih ada ruang untuk diperbaiki dalam tempoh yang ada ketika ini.

“Tahap keyakinan pemain masih rendah kerana mereka seperti ragu-ragu ketika turun beraksi. Bukan kerana ketiadaan tiga pemain (Indra Putra Mahayuddin, Azizi Matt Rose dan Mohd Norfarhan Muhammad). Cuma tahap keyakinan mereka sahaja yang tidak cukup kuat ketika ini.

“Lagipun kita turun tanpa enam pemain tonggak ketika perlawanan persahabatan itu. Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan Apex (Khairul Fahmi Che Mat) bersama skuad kebangsaan. S Chanturu, S Subramaniam dan Solehin Kanasian Abdullah pula mengalami kecederaan. Shakir (Shaari) pula hanya sempat beraksi 10 minit sahaja kerana mengalami kecederaan lutut.

“Kita masih ada masa, saya harap para peminat tidak gusar dengan prestasi semasa pasukan kita. Masih ada ruang untuk diperbaiki, mujur sepak mula Liga Super bermula lewat, sekurang-kurangnya pemain kita ada masa untuk kembali sembuh daripada kecederaan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Azman juga turut mengesahkan khidmat penjaga gol veteran, Mohd Halim Napi yang dipanggil pada saat-saat akhir bagi mengisi kuota 25 pemain dilakukan bagi mengimbangi kekuatan di posisi tersebut memandangkan penjaga gol ketiga Kelantan, Norhadi Ubaidillah mengalami kecederaan patah jari kelengkeng dan mungkin memerlukan jangka masa yang panjang untuk kembali pulih.

Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...